Berbaloi pandu lebih 300km sehala - Utusan Malaysia

Berbaloi pandu lebih 300km sehala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 29 Nov. – Pengorbanan seorang bapa memandu dari Kuantan ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur setiap bulan bagi menghadiri kelas tambahan ‘berbaloi’ apabila anaknya memperoleh 6A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), hari ini.

Bagi Izal Azhari Ishak, 37, meredah perjalanan sejauh hampir 300 kilometer sehala sudah menjadi rutin bulanan buat beliau dan anaknya, Fariz Danial, 12, sehingga ‘tempoh duduk dalam kereta lebih dua jam sudah tidak dirasai’. 


“Keputusan untuk menghantar anak ke situ dibuat kerana Fariz Danial sudah biasa dan serasi dengan cara pembelajaran kelas tambahan itu…dari tahun empat dia sudah belajar di situ memandangkan kami sebelum ini menetap di sana. 


“Fariz Danial sebenarnya baharu bertukar sekolah di sini pada tahun ini dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Petaling. Sekurang-kurangnya walau hanya ke kelas tambahan dua kali sebulan, anak boleh bertemu rakan-rakan dan belajar dalam situasi yang dia selesa,” katanya semasa ditemui di SK Teruntum di sini, hari ini.

Fariz Danial merupakan seorang daripada enam pelajar SK Teruntum yang memperoleh keputusan semua A pada UPSR tahun ini. Seramai 158 calon menduduki peperiksaan itu di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Fariz Danial memberitahu dia berhasrat dapat melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini, kerana berminat dengan silibus pelajaran yang seimbang dari aspek agama dan akademik. 


Malah, atas inisiatif keluarga dan minat sendiri, Fariz Danial turut menghadiri kelas hafazan persendirian sejak berusia l0 tahun sebagai persediaan supaya dapat bergelar seorang tahfiz dan saintis. 


Sementara itu, rakan sekolahnya, Ahmad Daniel Hakim Mohd Rizal Syaharil, 12, menyifatkan amalan menghafaz al-Quran selama empat jam sehari sebagai ‘petua yang membantunya’ mendapatkan keputusan 6A. 


“Menghafaz al-Quran membantu saya untuk berasa tenang dan lebih fokus semasa membuat ulang kaji pelajaran. Selain itu, saya juga mengikuti kelas tambahan di tiga tempat berbeza di sekitar Kuantan. 


“Ini membantu saya untuk lebih kerap belajar, selain memberi tumpuan sepenuhnya semasa guru mengajar di sekolah dan tidak malu untuk bertanya jika ada yang tidak difahami,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang tahfiz. 


Ahmad Daniel juga berharap kejayaannya akan menjadi ikutan kepada tiga adiknya memandangkan beliau menjadi ‘penanda aras’ sebagai anak sulung. – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN