KUALA LUMPUR 15 Nov. – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempersoalkan hala tuju Kementerian Pertahanan berikutan bajet yang diterima pada pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini menimbulkan keraguan dalam beberapa aspek.
Hishammuddin yang merupakan Menteri Pertahanan pada penggal lalu turut menuding jari kepada pembahagian belanjawan kepada kementerian itu yang didakwa tidak selari dengan pendirian ketelusan sebagaimana ditekankan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Misalnya, Ahli Parlimen Sembrong itu mempersoalkan keinginan disebut-sebut Kementerian Pertahanan yang dipimpin Menterinya, Mohamad Sabu membeli pesawat terbang tanpa pemandu (UAV), pesawat pemantau maritim sedangkan peruntukan dikurangkan RM2 bilion.
“Kalau dulu pun kita tidak mampu beli aset-aset sebegini, macam mana beliau nak yakinkan orang ramai bahawa aset-aset itu dapat dipenuhi dengan belanjawan dibentangkan.
“Kedua, dalam konteks penyelengaraan, menteri kata penyelengaraan seperti biasa tetapi saya kaji belanjawan kali ini peruntukkan penyelengaraan pun dikurangkan 84 peratus,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini. – UTUSAN ONLINE










