ALOR SETAR 23 Nov. – Seorang bayi perempuan yang sempurna fizikalnya dipercayai baharu dilahirkan ditemukan di tepi jalan di Taman Seri Ampang, Alor Setar di sini, semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6 petang itu, seorang remaja menemukan bayi itu dalam keadaan masih bertali pusat dan dibaluti kain batik sebelum membawanya pulang ke rumah dan memaklumkan kepada keluarganya.
Difahamkan remaja terbabit melihat dua lelaki menunggang motosikal berlegar-legar di kawasan tersebut sebelum mereka meninggalkan bungkusan kain batik di tepi jalan.

Keluarga remaja itu kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan bayi terbabit.
Pemeriksaan terhadap bayi itu dilakukan pasukan perubatan yang kemudian membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita baharu bersalin atau dalam keadaan mencurigakan diminta memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan,” kata beliau.
Jelasnya, bayi tersebut masih berada di HSB dan pihaknya sedang giat melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.











