IPOH 26 Nov. – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak yang meminta beliau membawa laporan audit kewangan dan dokumen berkaitan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) pada sesi pendengaran awam hari ini sebagai satu perangkap.
Ini kerana katanya, adalah menjadi satu kesalahan untuk beliau menyimpan mahupun memiliki sebarang dokumen rasmi kerajaan yang mana ia boleh didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
“Saya menganggap ini sebagai perangkap, sebab itu saya memberi jawapan secara bertulis kepada pengerusi PAC bahawa saya tidak menyimpan sebarang dokumen membabitkan anak syarikat kerajaan negeri itu sepanjang menjadi Menteri Besar dan pengerusinya.
“Malah sekarang saya bukan lagi seorang Menteri Besar jadi adalah sesuatu yang janggal apabila surat dihantar dan meminta saya membawa dokumen.
“Bayangkan kalau saya yang bukan lagi Menteri Besar dan membawa dokumen itu maka saya akan dituduh oleh mereka sebagai memegang dokumen-dokumen rahsia kerajaan dan akan didakwa di bawah OSA,” katanya dalam sidang akhbar di BangunaN UMNO Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan PAC itu juga diyakini mempunyai niat dan matlamat yang tidak baik kerana anak syarikat kerajaan negeri itu telah diwujudkan sejak tahun 1951 lagi.
“Ketika mereka memanggil saya menerusi surat pertama yang dihantar dan meminta saya membawa surat, dokumen dan laporan audit MB Inc. sejak ia ditubuhkan.
“Ini merupakan tindakan yang tidak cermat oleh mereka. Bagi mereka yang mengkaji penubuhan MB Inc., ia telah wujud sejak 1951 yang mana semua dalam kalangan kita belum dilahirkan lagi waktu itu dan dimana saya nak cari (dokumen),” katanya.
Zambry berkata, apa yang cuba dilakukan oleh PAC ini adalah usaha mereka untuk melampiaskan serakah politik walaupun menafikan genda tersebut dan hanya menjalankan tugas secara profesional.
“Apabila PAC dijadikan perkakas politik untuk memenuhi serakah poltik maka akhirnya ia akan menghancurkan sistem yang telah dibina selama ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE










