KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kerajaan digesa membawa isu mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ke Parlimen untuk dibahaskan sebelum menandatanganinya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh khususnya semua ahli Parlimen yang mewakili rakyat kerana ia melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kepentingan masyarakat Melayu secara umum, hak masyarakat seperti anak negeri Sabah dan Sarawak dan beberapa perkara lain berkaitan.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Pengerang, beliau sendiri telah mengusulkan perkara ini di bawah Peraturan Mesyuarat 26 yang juga telah disenaraikan dalam Aturan Urusaan Mesyuarat selain berharap kerajaan memberi laluan kepada usul ini untuk dibahaskan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung sesi Jawapan Menteri (MQT), bagaimanapun kerajaan tidak memberikan komitmen bahawa perkara ini akan dibawa ke Parlimen.
“Seperti mana yang dinyatakan oleh Waytha Moorthy bahawa ramai yang tidak faham akan tujuan sebenar ICERD ini, justeru, saya berpandangan Parlimen adalah platform terbaik untuk kerajaan membuat penjelasan secara terperinci sekali gus mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli Dewan Rakyat sebelum kerajaan bertindak untuk mengesahkan konvensyen tersebut kerana ia mampu melibatkan implikasi yang besar kepada negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










