Bapa mangsa nahas Lion Air saman firma Boeing - Utusan Malaysia

Bapa mangsa nahas Lion Air saman firma Boeing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Keluarga lelaki Indonesia yang terbunuh dalam nahas Lion Air menyaman Boeing, mendakwa bahawa kemalangan tersebut berpunca daripada sistem kawalan penerbangan pesawat 737 terbaharu firma berkenaan.

Saman itu susulan kegagalan Boeing memaklumkan syarikat penerbangan dan juruterbang mengenai perubahan pada sistem antipegun yang kaitannya dengan nahas tersebut masih disiasat.

Enjin Boeing 737-MAX lebih berat berbanding 737 versi sebelumnya, bermakna pesawat itu berisiko pegun di ruang udara di bawah situasi yang berbeza.

Boeing melakukan modifikasi pada sistem antipegun itu tanpa memaklumkannya kepada Lion Air dan krunya, demikian menurut Perikatan Kesatuan Juruterbang.

“Pasukan penyiasat kerajaan biasanya tidak akan memutuskan siapa yang bersalah, manakala pampasan kepada keluarga mangsa tidak diberikan berdasarkan siasatan kerajaan,” kata peguam, Curtis Miner dalam satu kenyataan berhubung keputusan anak guamnya menyaman Boeing.

Bapa mangsa, Rio Nanda Pratama memfailkan saman itu Rabu lepas di Illinois, negeri Amerika Syarikat yang menempatkan ibu pejabat Boeing

Doktor muda itu sepatutnya me­ngahwini kekasihnya pada minggu ini.

Tunang Rio, Intan Syari, 26, menjadi tajuk utama akhbar-akhbar selepas dia bergambar bersendirian dengan memakai gaun pengantin yang sepatutnya dipakai semasa majlis pernikahan mereka.

Lelaki berumur 26 tahun itu antara 189 orang yang terkorban apabila pesawat Boeing 737-MAX menjunam ke dalam Laut Jawa pada 29 Oktober lalu, kurang 20 minit selepas mening­galkan Jakarta dalam penerbangan menuju ke bandar Pangkal Pinang. Tiada mangsa terselamat dalam nahas itu.

Boing 737-MAX yang terhempas itu baru memulakan perkhidmatan de­ngan syarikat penerbangan Lion Air pada Ogos lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN