KUALA LUMPUR 27 Nov. – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) membuat laporan polis berhubung penjualan dua lot tanah kerajaan di Mukim Petaling dijual di bawah harga pasaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga menjejas seramai 41 peniaga yang menyewa serta berniaga di situ.
Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah yang mewakili para peniaga tersebut mendakwa, peniaga tidak berpuas hati apabila DBKL menarik dan membatalkan lesen perniagaan dua lot iaitu Lot 31208 serta Lot 417 kerana telah dijual kepada sebuah syarikat.
“Yang menyedihkan nilai tanah itu mengikut pasaran sekarang ialah RM80 juta tetapi terdapat satu transaksi pada 27 September 2017, harga jualannya hanya berjumlah RM15 juta sahaja.
“Kononnya sebagai tapak membina rumah mampu milik tetapi tentulah harga itu adalah tidak munasabah dan berlaku keadaan tidak telus dan ini jelas salah guna kuasa oleh pelbagai terutamanya kerajaan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Petaling, Jalan Kelang Lama di sini, hari ini.
Seramai 20 para peniaga yang menyewa di tanah itu turut mengadakan bantahan secara aman di hadapan balai polis tersebut.
Mohd. Ridzuan menambah, mereka akan menyampaikan memorandum bantahan mengenai pembelian tanah itu kepada pelbagai pihak terutama Kementerian Wilayah; DBKL; Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Kerja Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Apa yang penting penjualan tanah pada harga jauh lebih rendah ini sangat merugikan kerajaan dan kerugian kepada para peniaga juga apabila mereka terpaksa keluar dari lot-lot itu.
“Lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu DBKL telah dibayar 10 peratus dari hasil jualan melalui satu transaksi jualan yang sangat meragukan,” katanya. UTUSAN ONLINE










