Banjir kilat landa empat daerah - Utusan Malaysia

Banjir kilat landa empat daerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Empat daerah masing-masing dua di Selangor dan Pahang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat yang bermula semalam.

Seramai 200 mangsa melibatkan 50 keluarga di Selangor, manakala 141 daripada 34 keluarga lagi di Pahang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, seramai 189 orang mangsa dipindahkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat, manakala 11 lagi di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Dengkil, Sepang.

Menurutnya, sehingga pada pukul 6 petang ini, terdapat dua pusat pemindahan yang aktif serta mempunyai mangsa manakala satu lagi iaitu di Dewan Penghulu Mukim Cheras, Hulu Langat aktif tetapi tidak ada mangsa.

“Daripada jumlah tersebut, 105 mangsa adalah lelaki dan selebihnya adalah wanita. Selain itu, 111 daripada mangsa adalah orang dewasa, 75 kanak-kanak, 12 warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di TEMERLOH, Raub dan Lipis merupakan daerah pertama di Pahang dilanda banjir pada musim tengkujuh ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Zainal Yusof berkata, Raub merekod­kan jumlah tertinggi seramai 121 orang, manakala seramai 20 mangsa di Lipis.

“Kesemua mangsa daripada 30 keluarga di Raub dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Atok manakala tujuh keluarga di Lipis dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit.

“Kita melakukan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan keselamatan penduduk yang terlibat,’’ katanya di sini hari ini.

Menurut Zainal, kejadian banjir di Raub berlaku susulan hujan lebat sejak pukul 10 malam semalam sehingga menyebabkan Sungai Ulu Atok melimpah manakala di Lipis menyak­si­kan air Sungai Telang turut melimpah.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang melawat pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit menasihatkan semua penduduk khususnya yang tinggal berhampiran sungai supaya bersiap sedia berpindah dan mengikut arahan pihak berkuasa.

Beliau juga meminta semua pihak dan agensi berkaitan bekerjasama serta melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk terbabit.

“Kini ada mangsa sudah ditempatkan di pusat pemindahan sementara dan mereka akan diberikan bantuan sewajarnya termasuk pakaian dan makanan oleh agensi terbabit,’’ ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN