MELAKA – Tindakan seorang pesara tentera menghantuk kepala dan muka anak kandungnya yang juga seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) di tembok pagar rumah berbalas apabila didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sofri Mohd. Rejab, 48, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Sofri didapati telah menganiaya dari segi fizikal terhadap anak lelakinya berusia 11 tahun 2 bulan dengan cara menghantuk kepala dan muka mangsa di tembok pagar rumah sehingga menyebabkan muka, mata dan kepala kanak-kanak itu bengkak serta lebam.
Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah di Bukit Katil di sini pada 2 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau denda maksimum RM50,000.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










