KOTA BHARU 29 Nov. – Seorang bakal pengantin perempuan menjadi ‘hero’ menyelamatkan datuk dan dua sepupunya yang masih kecil dalam kejadian kebakaran yang menyebabkan sebuah rumah kayu dua tingkat yang dihuni 14 sekeluarga di Lorong Gajah Mati di sini, hangus terbakar tengah malam tadi.
Wanita tersebut, Hasmi Marina Mohd. Zahari, 26, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyiapkan barang hantaran dan cenderamata tetamu untuk majlis kenduri perkahwinan yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Akibat kejadian itu juga, ibunya, Rohaya Yati Mohamed, 54, mengalami sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dan masih ditahan di dalam wad.
“Kira-kira pukul 12.00 tengah malam saya sudah terhidu bau asap tetapi tidak dapat mengesan dari mana, saya agak macam bau nasi hangit.
“Setengah jam kemudian baru saya sedar sofa yang terletak di tingkat atas sudah terbakar, saya cuba memadamkannya tetapi gagal kerana tekanan air yang rendah, kebanyakan ahli keluarga yang baru hendak tidur segera keluar tanpa sempat membawa dokumen penting,” katanya ketika ditemui di tapak kebakaran di sini, hari ini.
Hasmi Marina yang bekerja sebagai juru x-ray di klinik swasta di Kuala Lumpur berkata, dia membawa turun dua sepupunya Nur Nisrin Adelia Mohd Azhar, 9, dan Muhammad Rifqi Amsyar, 4, yang sedang nyenyak tidur sebelum masuk semula ke rumah yang sedang terbakar untuk menyelamatkan datuknya, Mohamed Hussin, 86.
Luahnya, kesemua barang kelengkapan perkahwinannya hangus terbakar termasuklah baju pengantin tetapi majlis akad nikah akan tetap dijalankan pada pagi Sabtu ini atas permintaan tunangnya, Mohd. Amer Shafeq Shahiri, 26, yang berasal dari Pekan, Pahang.
Sementara itu, Mohamed yang bekerja sebagai pengayuh beca berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Mek Som Halim, 72 serta tiga anak, lapan cucu dan seorang cicit yang berada bersamanya di rumah semalam, selamat walaupun mereka tinggal sehelai sepinggang dengan kerugian dianggarkan lebih RM40,000.










