Bakal pengantin jadi hero selamatkan keluarga - Utusan Malaysia

Bakal pengantin jadi hero selamatkan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 29 Nov. – Seorang bakal pengantin menjadi ‘hero’ apabila menyelamatkan datuk dan dua sepupunya yang kecil dalam kebakaran yang menyebabkan sebuah rumah kayu dua tingkat yang dihuni 14 sekeluarga di Lorong Gajah Mati di sini hangus terbakar tengah malam tadi.

Mohamed Hussi
Mohamed Hussi 

Bakal pengantin tersebut, Hasmi Marina Mohd Zahari, 26, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyiapkan barang hantaran dan cenderamata tetamu untuk majlis kenduri perkahwinan yang bakal berlangsung Sabtu ini.

 Akibat kejadian itu, ibunya Rohaya @ Yati Mohamed, 54, mengalami sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan masih dirawat dalam wad.

 “Kira-kira pukul 12 tengah malam saya sudah terhidu bau asap tetapi tidak dapat mengesan dari mana, saya agak macam bau nasi hangit.
 
 “Setengah jam kemudian baru saya sedar sofa yang terletak di tingkat atas sudah terbakar, saya cuba memadamkannya tetapi gagal kerana tekanan air yang rendah, kami seluruh keluarga segera keluar tanpa sempat menyelamatkan dokumen penting,” katanya ketika ditemui di tapak kebakaran di sini hari ini.

 Wanita ini yang bekerja sebagai juru x-ray di klinik swasta di Kuala Lumpur berkata, dia sempat membawa turun dua sepupunya Nur Nisrin Adelia Mohd Azhar,9, dan Muhammad Rifqi Amsyar, 4, yang nyenyak tidur sebelum masuk semula ke rumah yang sedang terbakar untuk menyelamatkan datuknya, Mohamed Hussin, 86.

 Hasmi Marina berkata, walaupun kesemua barang kelengkapan perkahwinannya hangus terbakar termasuklah baju pengantin tetapi majlis akad nikah akan tetap dijalankan pada pagi Sabtu ini atas permintaan tunangnya, Mohd Amer Shafeq Shahiri, 26, yang berasal dari Pekan, Pahang.

Sementara itu, Mohamed yang bekerja sebagai pengayuh beca berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Mek Som Halim, 72, serta tiga anak, lapan cucu dan seorang cicit yang tinggal bersamanya di rumah sewa itu selamat walaupun mereka tinggal sehelai sepinggang dengan kerugian dianggarkan lebih RM40,000.

Dalam pada itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata, pasukan bomba menerima panggilan pada pukul 12.46 pagi dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

“Seramai 28 anggota bomba dari Balai Bomba Kota Bharu dan Pengkalan Chepa serta lima ahli pasukan bomba sukarela (PBS) terlibat berjaya mengawal api dalam tempoh 13 minit, punca kejadian masih disiasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN