KUALA LUMPUR 28 Nov. – Seperti yang telah diduga, akhirnya Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali hari ini sah menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau menyerahkan borang keahlian tersebut kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menerima kad keahlian daripada Pengerusi parti tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain beliau, seramai empat lagi Senator turut berbuat tindakan yang sama iaitu Presiden Majlis Senator, Datuk Seri Khairudin E.S. Abd. Samad; Bendahari Majlis Senator, Datuk Suhaimi Abdullah; wakil Orang Asli, Isa Ab. Hamid dan wakil Orang Siam, Aknan Ehtook.
Dr. Mahathir mengalu-alukan kemasukan senator-senator dan ahli Parlimen ke dalam Bersatu kerana menyedari parti tersebut tidak mendapat dua pertiga undi majoriti.
“Kadang-kadang berlaku sesuatu kita tersekat, tak boleh nak tumpukan pada apa yang kita janjikan sebab perlu dua pertiga undi.
“Kemasukan ahli-ahli baharu ini kita boleh dapat angka yang diinginkan dan syarat kepada mereka adalah menjadi ahli selama setahun tidak boleh pegang apa-apa jawatan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










