KOTA BHARU 16 Nov. – Musim 2018 menjadi ‘titik hitam’ buat Mohd. Badhri Radzi atau Piya apabila Kelantan membuat kejutan dengan mengugurkannya pada pertengahan musim sekaligus menenggelamkan nama jeneral padang The Red Warriors itu.
Sungguhpun begitu, auara Piya dalam sukan bola sepak masih belum terpadam meskipun usianya sudah mencecah 36 tahun.
Namun secara tiba-tiba, nama Piya kembali ‘timbul’ apabila Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berminat untuk melamar Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 bagi memperkasakan Singa Utara bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.
Piya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, dia bersedia untuk menerima lamaran Singa Utara yang mahu mendapatkan khidmatnya itu.
Menurutnya, sekiranya PFA serius dia bersedia membuka pintu rundingan dengan pasukan berkenaan bagi membolehkannya membuat kemunculan semula dalam saingan Liga M.
“Saya amat terkejut apabila menerima perkhabaran Perlis berminat untuk menawarkan kontrak.
“Bagi saya ia merupakan satu penghargaan dan dapat kembali semula ke Liga M adalah satu anugerah tidak terhitung nilainya,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, bekas jeneral padang TRW itu khabarkan dikatakan bakal menyertai pasukan Singa Utara pada tahun depan.
Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu merupakan salah seorang tulang belakang TRW ketika merangkul kejuaraan trebel musim 2012 lalu. – UTUSAN ONLINE










