JOHOR BAHRU 17 Nov. – Kerajaan negeri merancang untuk melakukan proses pengauditan forensik ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri dalam masa terdekat bagi mengesan sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urus tadbir syarikat.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, sebuah firma audit bebas dari luar akan digunakan bagi melakukan kerja-kerja audit terhadap GLC yang diberi tumpuan seperti Johor Corporation (JCorp) dan YPJ Holdings.
Katanya, idea tentang pengauditan forensik terhadap semua GLC itu dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika menghadap baginda baru-baru ini.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu masa yang sesuai untuk melakukan proses tersebut, buat permulaan kita akan mulakan dengan dua hingga tiga GLC terlebih dahulu. Tumpuan utama diberikan kepada GLC yang besar seperti JCorp dan YPJ Holdings.
“Mengenai Jcorp, kita sudah tahu mereka menanggung hutang RM1.3 bilion dan berjanji akan selesaikan hutang pada 2022. Melalui audit itu, kita hendak tahu sejauh mana hutang itu sampai begitu besar jumlahnya.
“Begitu juga dengan YPJ Holdings, aset yang kita berikan begitu besar untuk diniagakan tapi kenapa sebahagian besar anak syarikat mengalami kerugian. Kita lihat ada juga pegawai yang bergaji besar, ini antara lain menyahut seruan Perdana Menteri juga untuk lihat semula GLC,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan merangkap Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama negeri merangkap Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Mengenai permintaan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Johor yang mahu meletakkan wakil dalam kepimpinan GLC di negeri ini, Osman berkata perkara itu hanya dapat dilaksanakan apabila keadaan syarikat mulai stabil.
“Kalau hendak meletakkan ahli parti menerajui GLC, kita tidak mampu hendak bayar gaji dan elaun. Apabila kita dapat stabilkan syarikat-syarikat (GLC), saya berjanji akan lantik untuk kita sama-sama duduk bagi memacu GLC di Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE










