KUALA TERENGGANU – Rata-rata atlet Terengganu memberi maklum balas positif terhadap aspek pemakaian patuh syariah yang akan dipraktikkan bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, hasrat kerajaan negeri itu turut mendapat sokongan penuh daripada pihak persatuan serta jurulatih yang sebenarnya sudah sekian lama menantikan pelaksanaan sedemikian.
Menurut beliau, tidak timbul isu gangguan atau tidak menghormati atlet seperti yang didakwa kerana sehingga ke hari ini tiada sebarang bantahan atau pun penolakan yang diterima namun sebaliknya mereka memuji langkah tersebut.
“Kerajaan negeri meletakkan agama sebagai pertimbangan paling tinggi dalam setiap tindakan yang dilakukan termasuk lah bidang sukan.
“Saya ingin tekankan di sini bahawa memakai pakaian patuh syariah tidak akan sesekali menjejaskan prestasi atlet untuk bermain bola sepak, hoki mahupun ragbi bahkan dalam sudut-sudut tertentu aspek keselamatan mereka jauh lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan pemakaian patuh syariah.
Menerusi catatan di laman Instagram menteri itu, beliau memberi peringatan supaya pilihan pakaian para atlet tidak diganggu dan perlu dihormati selain menyatakan terdapat beberapa atlet yang menghubunginya secara peribadi berkaitan isu berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Wan Sukairi merasakan berkemungkinan Syed Saddiq memperoleh maklumat yang tidak tepat berkaitan pelaksanaan pakaian patuh syariah ke atas atlet di negeri Terengganu.
“Mungkin menteri dapat maklumat silap atau tersilap baca, saya sendiri tidak pasti. Mungkin juga beliau terkhilaf.
“Pelaksanaan ini hanya terpakai untuk atlet-atlet Terengganu sahaja dan ia bukan satu arahan untuk atlet di luar daripada negeri Terengganu,” ujarnya.
Semalam akhbar Kosmo! melaporkan kesemua pemain yang bernaung dibawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diwajibkan menutup aurat ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia bermula musim depan. – K! ONLINE










