IPOH 26 Nov. – Selepas UMNO mendakwa beberapa orang wakil rakyatnya dipujuk
untuk memberi sokongan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, seorang Exco kerajaan negeri hari ini mendakwa sebaliknya apabila mendedahkan UMNO yang membuat tawaran supaya beliau keluar daripada Pakatan Harapan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi malah mendakwa UMNO menawarkan beliau jawatan Menteri Besar jika keluar daripada Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan bersama-sama Pas dan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak berkata, UMNO telah menghantar wakil menemuinya pada 1 November lalu bagi menawarkan tawaran tersebut.
“Saya tolak bulat-bulat tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu.
“Individu yang pernah berjawatan tinggi dalam UMNO Perak itu telah bertemu dengan saya dengan membawa salam daripada Datuk Shaarani (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak) dan menawarkan jawatan Menteri Besar Perak kepada saya,” katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Mengulas dakwaan UMNO bahawa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Menteri Besar oleh beberapa orang exco kerajaan negeri, Asmuni berkata, parti Amanah tetap teguh di belakang Menteri Besar untuk mendokong kerajaan yang ada pada hari ini.
Menurutnya, Adun-Adun dari parti komponen Pakatan Harapan yang lain turut berpendirian yang sama
“Tidak ada sebarang masalah yang boleh mencetuskan pertelingkahan dan kestabilan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










