AS tutup laluan sempadan Mexico - Utusan Malaysia

AS tutup laluan sempadan Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIJUANA, MEXICO 26 Nov. – Amerika Syarikat (AS) menutup laluan sempadan paling sibuk dengan Mexico semalam selepas polis negara itu menyuraikan bantahan pendatang Amerika Tengah di sini.

Tindakan polis itu menyebabkan beberapa kumpulan pendatang melarikan diri ke sempadan AS namun pada masa sama anggota keselamatan AS pula melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka dari pagar sempadan.

Lalu lintas di kedua-dua arah pintu masuk pelabuhan San Ysidro antara San Diego dan Tijuana, kawasan sempadan paling sibuk di Western Hemisphere turut ditutup, lapor agensi Perlin­dungan Sempadan dan Kastam AS menerusi Twitter.

Polis negara ini yang lengkap dengan perisai menyuraikan pendatang dan penunjuk pe­rasaan berkenaan namun mereka kemudian berlari ke arah pegawai agensi berkenaan yang bertindak melepaskan gas pemedih mata.

Kerajaan Mexico kemudian memaklumkan, pihaknya berjaya mengawal keadaan di laluan sempadan itu selepas hampir 500 pendatang cuba untuk menyeberang sempadan AS ‘dengan cara ganas’.

Negara ini juga berikrar akan menghantar balik kesemua 500 pendatang Amerika Tengah itu yang cuba memasuki AS secara haram.

Presiden Donald Trump sebelum ini berkali-kali memberi amaran tentang gerombolan pendatang Amerika Tengah cu­ba memasuki AS dan merancang memohon suaka sebaik sahaja tiba di negara itu.

Ketegangan di sempadan memuncak sejak beberapa hari lalu dengan beribu-ribu pendatang berkhemah di luar stadium sukan di sini manakala beratus-ratus lagi berkumpul dekat laluan utama sempadan.

Pendatang terbabit yang me­ngaku melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan berkata, mereka akan terus menunggu di kawasan itu sehingga berjaya memohon suaka walaupun AS bercadang untuk mengetatkan kawasan sempadan.

Semalam, beratus-ratus pendatang termasuk golongan wanita dan kanak-kanak mengadakan tunjuk perasaan aman dengan melaungkan slogan ‘Kami bukan penjenayah! Kami pekerja rajin’.

Ketika tiba di sebuah jam­batan dan tangga menuju ke me­dan berhampiran sempadan AS, mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa Mexico yang mengarahkan mereka menunggu sehingga mendapat kebenaran.

Namun keesokan paginya mereka yang mengetahui tidak akan memperoleh kebenaran telah bergerak ke arah terusan antara Tijuana dan San Diego menuju ke pagar sempadan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN