ROME 16 Nov. – AS Roma akan menyumbangkan 150,000 euro (RM712,780) kepada keluarga penyokong Liverpool, Sean Cox yang menderita cedera otak selepas diserang penyokong mereka.
Cox, 53, dari Ireland yang juga bapa kepada tiga orang anak dalam perjalanan menonton separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield pada 24 April lalu sebelum diserang dua penyokong fanatik Roma.
Cox mengalami kecederaan serius akibat serangan tersebut, dan sehingga kini tidak mampu bercakap mahupun duduk.
Dia kini menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Nasional di Dun Laoghaire, Dublin.
“Apa yang terjadi kepada Sean Cox tidak patut berlaku kepada sesiapa pun yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak.
“Ingatan kami bersama Sean, Martina (isteri) dan keluarganya sejak hari pertama insiden sehingga hari ini.
“Kami doakan Sean cepat sembuh sepenuhnya,” kata Presiden AS Roma, Jim Pallotta dalam satu kenyataan, hari ini.
Pegawai Roma turut diterbangkan ke Ireland bagi bertemu Sean, Martina dan pihak yang menguruskan kutipan derma kepada keluarga itu.
“Kehidupan kami tidak stabil selepas apa yang berlaku kepada Sean.
“Tiada tanda-tanda dia akan pulang ke rumah dalam masa terdekat.
“Biarpun usaha berterusan dilakukan oleh doktor pakar, ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun, selain penjagaan rapi sepanjang hidupnya.
“Kami sangat menghargai sumbangan daripada AS Roma, terutama Encik Pallotta.
“Bantuan ini sangat bermakna buat Sean untuk mengharungi tahun-tahun mendatang,” kata Martina. – AFP










