Arus sastera Komsas - Utusan Malaysia

Arus sastera Komsas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
KOMSAS adalah kata akronim bagi Komponen Sastera yang telah diper­kenalkan dalam subjek Bahasa Melayu sekolah menengah sejak 2001 sebagai alternatif kepada pelajar yang tidak mengambil Kesusasteraan Melayu.

Secara jujurnya, boleh dikatakan subjek Kesusasteraan Melayu seolah-olah sudah sampai ke penghujung jalan, menjadikan Komsas penyelamat atau penyambung nyawa. Pelajar di setiap tingkatan akan dibekalkan dua buah buku iaitu sebuah novel dan sebuah antologi yang terkandung pelbagai genre sastera seperti puisi moden, puisi klasik, cerpen, sedutan teks klasik dan teks drama.

Skop pengajaran dan pembelajaran Komsas berkisar kepada membaca untuk menambah pengetahuan dan menghayati teks kesusasteraan selain mendalami karya sastera seperti tema dan persoalan, plot, latar, perwatakan, sudut pandangan, teknik penceritaan, nilai dan gaya bahasa.

Di dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar akan diuji khasnya dari segi pemahaman tentang teks-teks yang telah mereka pelajari.

Persoalannya, jika soalan-soalan yang dikemukakan hanya menguji pemahaman pelajar, adakah Komsas berupaya melahirkan lebih ramai penulis dalam pelbagai genre sastera?

Mungkin belum ada kajian tentang hal ini tapi jika dipandang sekali lalu, perkara ini amat rendah peratusnya. Untuk melahirkan lebih ramai bakal penulis, saya rasa bentuk soalan ujian dan penilaian Komsas haruslah diubah kepada soalan yang berbentuk penciptaan.

Berikut adalah beberapa contoh aktiviti untuk memantapkan pemahaman dan membugar kreativiti pelajar dalam Komsas dan subjek Kesusasteraan Melayu ke arah melahirkan lebih ramai penulis genre sastera di Malaysia.

a. Menulis ayat dan frasa yang indah.

b. Meneruskan cerpen dan novel.

c. Menulis cerpen dan novel.

d. Menukarkan cerpen kepada komik dan sebaliknya.

e. Menterjemahkan sajak, pantun, syair dan gurindam ke dalam bentuk grafik dan

visual dan sebaliknya.

f. Menukarkan cerpen kepada skrip drama dan sebaliknya.

g. Menukarkan rencana atau visual ke dalam bentuk pantun, puisi,lirik lagu, syair dan gurindam.

h. Menulis cerita rakyat tempatan.

Sekiranya aktiviti ini dilaksanakan seawal tingkatan satu, saya pasti kita akan berupaya melahirkan lebih ramai penulis muda yang berbakat dan menambah minat pelajar untuk membaca hasil karya sastera dan tidak terhad hanya kepada membaca sebuah novel setahun kerana hambatan peperiksan.

Maka, usaha kita untuk melahirkan lebih ramai pencipta daripada sekadar menjadi ‘pengguna’ dalam bidang sastera Melayu akan tercapai.

AZIZUL RAHMAN 
ABDUL RAHMAN

Tokoh Guru Kebangsaan 2016

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN