BUENOS AIRES 30 Nov. – Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) menawarkan jawatan tetap kepada jurulatih sementara, Lionel Scaloni untuk mengemudi pasukan hingga tahun depan bagi mengharungi kempen Copa America di Brazil.
Scaloni menggantikan kedudukan Jorge Sampaoli, selepas jurulatih itu meninggalkan pasukan setelah kecewa dengan persembahan anak buahnya di Piala Dunia Rusia apabila sekadar memenangi satu perlawanan di peringkat kumpulan sebelum tewas di tangan Perancis pada peringkat 16 terbaik.
“Kami telah lihat cara bekerja Scaloni dan hasilnya kami menawarkan peluang untuk dia meneruskan tugas sehingga Copa America,” kata Presiden AFA, Claudio Tapia.
Kejohanan Copa America bakal berlangsung pada Jun dan Julai tahun dengan di Brazil.
Argentina yang tewas dalam dua aksi final pertandingan itu meletakkan sasaran untuk memenangi trofi itu sejak kali terakhir menjulangnya pada tahun 1993.
Pemilihannya menimbulkan sedikit keraguan kerana Scaloni dikatakan agak kurang berpengalaman dalam kejurulatihan, biarpun pernah mengambil alih sementara tugas mengemudi pasukan kebangsaan bawah 20 tahun.
Namun, dia berjaya membuktikan sentuhan apabila membawa pasukan kebangsaan memenangi empat aksi persahabatan, satu seri dan sekali tewas 0-1 kepada Brazil dalam enam perlawanan setakat ini.
Kesemua enam perlawanan itu berlangsung tanpa penyertaan Lionel Messi, yang meminta dikecualikan bermain dalam perlawanan antarabangsa sehingga hujung tahun. – REUTERS










