Argentina didesak siasat 
Putera Mohammed - Utusan Malaysia

Argentina didesak siasat 
Putera Mohammed

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES 27 Nov. – Argentina didesak supaya menyiasat penglibatan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dalam konflik pepera­ngan di Yemen dan pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi.

Desakan itu dibuat oleh ba­dan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) yang mengemukakan permohonan tersebut kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Argentina, Ariel Lijo semalam.

Pengarah HRW bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson yang dipetik Al-Jazeera berkata, gesaan itu dibuat kerana Putera Mohammed akan menghadiri majlis pembukaan Sidang Kemuncak G20 pada minggu ini di sini.

“Kami mengemukakan permohonan tersebut dengan harapan pihak berkuasa Argentina akan menyiasat penglibatan Putera Mohammed dalam ke­dua-dua konflik tersebut.

“Argentina mempunyai asas kukuh untuk menyiasat kedua-dua kes tersebut dengan teliti kerana masyarakat dunia terdesak untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

Perlembagaan Argentina meng­iktiraf bidang kuasa seja­gat untuk jenayah perang dan penyeksaan, sekali gus me­nyaksikan pihak berkuasa boleh menyiasat serta menghukum mana-mana pihak yang melakukan jenayah tersebut, tidak kira di mana ia berlaku.

Media Argentina yang memetik sumber kehakiman pula memaklumkan bahawa tidak mungkin pihak berkuasa negara ini akan mengambil kes menentang Putera Mohammed yang merupakan pemimpin Arab Saudi.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif HRW, Kenneth Roth berkata, kehadiran Putera Mohammed dalam Sidang Kemuncak G20 di sini boleh memberi peluang kepada mahkamah Argentina untuk mencari keadilan kepada pihak yang terjejas akibat perang di Yemen serta berhubung kematian Jamal.

Imej Putera Mohammed tercalar, selain hubungan antara Arab Saudi dengan Barat turut terjejas selepas Jamal yang lantang mengkritik putera mahkota itu dibunuh dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.

Selain itu, pasukan tentera pakatan yang diketuai oleh Arab Saudi dilaporkan sema­kin giat melancarkan sera­ngan udara terhadap penduduk awam, menyebabkan banyak kediaman, sekolah, hospital serta masjid di Yemen musnah sejak Mac 2015.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 14 juta orang iaitu bersamaan separuh daripada po­pu­lasi negara itu kini berdepan dengan krisis kebuluran.

Sementara itu, puluhan penduduk Tunisia mengadakan tunjuk perasaan membantah kunjungan Putera Mohammed ke negara berkenaan yang dijangka tiba di Tunisia hari ini bagi melengkapi lawatan serantau sebelum menghadiri Sidang Kemuncak G20.

Rata-rata penunjuk perasaan menyatakan bahawa Putera Mohammed seharusnya melindungi pen­­duduk Yemen, memberi hak kepada wartawan melakukan tugasan mereka serta hak kepada kumpulan aktivis wanita. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN