KOTA BHARU 21 Nov. – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membenarkan wakil rakyat pembangkang menghadiri program di sekolah tanpa kebenaran tidak sepatutnya berlaku dalam suasana Malaysia Baharu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan sewajarnya membenarkan semua wakil rakyat ke sekolah tanpa perlu mendapat kebenaran daripada kementerian terlebih dahulu.
Beliau berkata, PH hanya meneruskan apa yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kita nak sesuatu yang baharu dalam Malaysia Baharu tetapi dia hanya meneruskan tradisi sahaja. Apa sahaja alasan mereka, pendirian kita, (PH) sama dengan BN tidak ada perbezaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang tidak membenarkan wakil rakyat pembangkang menghadiri sebarang acara di sekolah tanpa kebenaran kementerian tersebut.
Maszlee turut dilaporkan berkata pekeliling telah dikeluarkan bahawa setiap permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri jika wakil rakyat terbabit berhasrat untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, negeri ini masih mengekalkan fatwa hanya ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dibenarkan di negeri ini.
“Fatwa mengenai Syiah kena tanya mufti, tetapi mana-mana fatwa boleh disemak semula namun kena ada keperluan, apa keperluannya sebagai Syiah ini dalam kalangan kita, ASWJ tidak dapat diterima.
“Kalau kita baca mana-mana tulisan ulama ASWJ ini menyebut Syiah sebagai menyeleweng dan ada sampai peringkat sesat. Itu sudah jelas dan setakat ini tidak ada orang mempertikaikan pandangan tersebut,” katanya.










