ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat jerut bilis kerana disyaki memukat ikan bilis kurang satu batu nautika dari pantai di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Pulau Singa Besar, Langkawi dekat sini semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, bot kelas A itu ditahan bot peronda APMM Langkawi kira-kira pukul 11 pagi.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas bot tersebut menemui seorang tekong bersama 22 awak-awak warga Thailand berusia antara 21 hingga 67 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan mendapati bot nelayan berkenaan pernah ditahan dan dikompaun pada Ogos tahun lalu dan disyaki mengulangi kesalahan sama di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Hasil tangkapan sebanyak 100 kilogram ikan bilis dirampas dan bot nelayan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE










