SUSULAN pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi, Arab Saudi menahan 18 suspek dan memecat lima pegawai kanan kerajaan Riyadh bagi membantu siasatan.
Jamal yang lantang mengkritik kepemimpinan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman memasuki konsulat negara itu di Istanbul, Turki pada 2 Oktober untuk mendapatkan dokumen bagi melangsungkan perkahwinan.
Namun, berita kehilangannya mula tular dan pentadbiran Riyadh mengakui bahawa Jamal mati dalam konsulat tersebut dan mendakwa kematiannya diakibatkan oleh satu operasi.
Bagaimanapun, Turki menegaskan bahawa seramai 15 anggota perisik operasi Arab Saudi terbang ke Istanbul menggunakan dua jet peribadi beberapa jam sebelum Jamal dibunuh dan mayatnya dikerat.
Tiada maklumat lanjut
Kini, kes pembunuhan Jamal terus menjadi misteri dengan pelbagai persoalan masih belum terjawab. Siapa yang membunuh dan siapa yang mengarahkan pembunuhan itu, tiada jawapan. Begitu juga kenapa atau apa motif pembunuhan itu dilakukan?
Sementara itu, di sebalik persoalan itu dirungkai, dakwaan demi dakwaan mula menular termasuk ‘suara orang ketiga’ yang dikatakan mengeluarkan arahan pembunuhan dilakukan.
Siapa ‘orang ketiga’ itu juga belum lagi terjawab.
Arab Saudi dikatakan cukup tertekan dengan kes tersebut. Begitu juga dengan Turki yang ‘harus’ mendapatkan jawapan di sebalik misteri berkenaan.
Apatah lagi jenazah Jamal juga masih belum ditemukan dengan pelbagai dakwaan juga timbul termasuk dikatakan tubuh badannya dikerat-kerat dan ‘dihancurkan’ dengan asid selain dakwaan mengatakan tubuhnya dibawa masuk menggunakan kargo.
Apapun, kes pembunuhan Jamal sedikit sebanyak mencemar nama Arab Saudi dan perlu diselesaikan segera bagi mengelak misteri bertukar menjadi sesuatu yang tidak baik pada masa akan datang.











