KUALA LUMPUR 29 Nov. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan semua 24 jawatan lantikan dalam PKR sebelum Januari tahun depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengakui tempoh itu terlalu panjang namun baginya lantikan tersebut tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru.
“Saya dah bincang dan benda ini tak perlu disegerakan sebab ia masih dalam proses rundingan, jadi tidak perlu terburu-buru sebab kena dengar semua pandangan.
“Ya, sebelum tahun depan insya-Allah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Anwar yang baharu tiba dari Turki hari ini ditanya sama ada beliau sudah memutuskan nama bakal dipilih mengisi jawatan lantikan dalam parti itu bagi penggal 2018-2021.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dilaporkan antara yang bakal mengisi jawatan penting dalam pimpinan parti. – UTUSAN ONLINE










