Anggota polis redah kolam tadahan banjir tahan suspek - Utusan Malaysia

Anggota polis redah kolam tadahan banjir tahan suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 16 Nov.- Tindakan seorang lelaki warga Indonesia yang melarikan diri sejauh 1.5 kilometer menaiki motosikal curi hanya sia-sia apabila dia ditahan dalam kejadian di Jalan Persiaran Delima 2, Bandar Parkland di sini petang semalam.

Malah, dua anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) sanggup meredah kolam tadahan banjir sedalam satu meter berikutan lelaki berusia 26 tahun itu cuba melarikan diri daripada ditangkap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang apabila anggota polis telah mengesan seorang suspek menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

Jelas Shamsul Amar, anggota polis masing-masing berpangkat Koperal dan Lans Koperal  meminta suspek berhenti, namun lelaki berkenaan enggan berbuat demikian malah bertindak memecut motosikal yang ditungggangnya.

“Setelah melarikan diri sejauh 1.5 km, suspek bertindak terjun ke kolam tadahan banjir. Namun, kedua-dua anggota polis terbabit menggagalkan usaha suspek dengan memasuki kolam dan berjaya menahannya.

“Hasil semakan mendapati, motosikal dipandu suspek merupakan kenderaan curi dan dilaporkan hilang pada 10 November lalu. Suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan direman sehingga 18 November,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tualr di lama sosial Facebook insiden penangkapan tersebut selepas orang ramai memuat naik video detik-detik kejayaan polis berkenaan menahan suspek.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN