Angah terima pencen penakat - Utusan Malaysia

Angah terima pencen penakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 29 Nov. – Keluarga Allahyarham Muhammad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly, 23, pesakit empat jenis kanser yang meninggal dunia Ahad lalu bersyukur apabila menerima sumbangan faedah pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Bapa Allahyarham, Zulkifly Mohamed, 55, berkata, duit pencen panakat berjumlah RM725 sebulan sepanjang hayat itu akan digunakan untuk menampung kehidupan keluarganya selepas kematian anak kedua daripada enam beradik itu.

“Dahulu, dia Muhammad Fa­dizrul Azraain Billah yang banyak bantu kami sekeluarga hinggalah ketika sakit, dia tetap berkeras hendak bekerja semata-mata untuk bantu keluarga termasuk seorang adiknya yang masih bersekolah menengah.

“Saya tidak lagi bekerja setelah menghidap penyakit jantung sejak 2002, manakala isteri pula tidak mampu berjalan kerana sakit sendi dan kini hanya bergantung kepada anak sulung kami yang bekerja sebagai pemain muzik sambilan dengan gaji RM900 sebulan,” katanya selepas menerima kunjungan Perkeso negeri di sini semalam.

Pencen panakat itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh kepada Zulkifly dan isteri, Zaitun Salleh, 50, sambil disaksikan Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang.

Kisah penderitaan Muhamad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly atau lebih mesra dipanggil Angah mendapat liputan media pada 31 Oktober lalu setelah disahkan menghidap empat jenis penyakit kanser di hidung, hati, paru-paru dan selaput otak pada Mac tahun lalu.

Sejak dikesan menghidap kanser, Allahyarham pernah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan pe­nyakitnya itu menyebabkannya kehilangan lebih separuh berat badannya daripada 70 kilogram (kg) kepada hanya 30 kg.

Sementara itu, Che Zakaria berkata, pihaknya akan membantu meringankan beban keluarga Allahyarham yang kini hanya menyewa di perumahan rakyat sebanyak RM100 sebulan selain turut membantu adik Allahyarham, Mohamad Fadzizulrasul Azrain Billah, 13, yang masih bersekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN