SHAH ALAM – Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir diumumkan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2018-2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Rashid Din berkata, bagi jawatan Timbalan Ketua AMK dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham.
“Mereka yang dipilih sebagai Naib Ketua AMK pula adalah Justin Raj, Mohd. Nazri Mohd. Yunos dan S. Thibali,” katanya pada majlis pengumuman barisan kepimpinan baharu AMK di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Turut diumumkan pada majlis tersebut adalah barisan 20 orang Exco AMK Pusat.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, AMK perlu terus membuktikan diri bahawa mereka mampu untuk memperjuangkan suara anak muda secara berterusan dan bukannya sebelum zaman mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 sahaja.
“Kita kena angkat suara mereka. Banyak isu yang membebankan anak muda seperti akses pendidikan dan kos sara hidup. Ia adalah bebanan terpaksa dipikul mereka dan boleh dibaca di media sosial.
“Saya harap sepanjang tempoh saya pegang jawatan Ketua AMK ini, saya dapat kerjasama dan pertolongan daripada semua pihak kerana ia bukan tanggungjawab seorang sahaja. Kalau gagal dalam tempoh empat tahun ini maknanya kita semua gagal,” katanya. – K! ONLINE










