SHAH ALAM 16 Nov. – Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir diumumkan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam Kongres Nasional AMK di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham pula telah diumumkan sebagai Timbalan Ketua AMK.
Pengumuman Akmal sebagai Ketua AMK yang baharu bagaimanapun mendapat bantahan daripada sebahagian besar perwakilan AMK yang bertindak memekik menuntut pemilihan semula dibuat sebelum meninggalkan majlis.
Malah, ada dalam kalangan para perwakilan melaungkan nama seorang lagi calon Ketua AMK yang juga bekas Timbalan Ketua AMK, Dr. Afif Bahardin.
Majlis bagaimanapun kembali tenang selepas ahli yang tidak berpuas hati keluar dewan. – UTUSAN ONLINE










