Air mata Wan Azizah tumpah - Utusan Malaysia

Air mata Wan Azizah tumpah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Nov. – Air mata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ibrahim tumpah di pentas Kongres Nasional PKR ketika mana beliau menyampaikan ucapan dasar terakhir selaku Presiden, sebelum menyerahkan jawatan itu kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Keadaan itu menyebabkan ucapan Wan Azizah, yang ‘terjun’ ke dunia politik selepas Anwar dipenjara pada 1998, terhenti beberapa kali, sebaik sahaja beliau mengimbau ranjau yang terpaksa dilalui selama memimpin dan sepanjang sejarah 20 tahun kewujudan PKR.

Terdahulu, dalam ucapannya, Wan Azizah berkata, beliau menyediakan parti pada tahap yang terbaik untuk Anwar mengemudinya bagi mencapai kegemilangan.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mahu ahli PKR tidak melayan suara pengkhianatan, baik dari dalam atau luar kerana perkara tersebut boleh menjejaskan ketenteraman parti serta merosakkan mandat yang diamanahkan rakyat.

Tanpa mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, parti itu tetap dengan pendiriannya menyokong kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai penggantinya.

“Sokongan bulat ini kita sepakati dalam muafakat bersama DAP, Amanah (Parti Amanah Negara), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sejak Januari tahun ini.

“Agenda rakyat perlu diuta­ma­kan. Janganlah dilayan desas-desus pengkhianatan dari dalam dan dari luar untuk menjejaskan ketenteraman parti dan mandat rakyat,” katanya.

Yang turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah, Moha­mad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut mengingatkan ahli PKR bahawa perjuangan mereka kini perlu berbeza daripada bekas kerajaan yang ditentang dahulu dengan mengamalkan pendekatan yang lebih baik.

Katanya, pendekatan tersebut penting agar PKR tidak ditempelak rakyat jika mengamalkan perkara yang pernah dilakukan pentadbiran negara sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN