GRADUAN Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nor Ainaa Nabilla Nazirun, 23, ada kisah menarik yang ingin dikongsi dengan pembaca yang mempunyai cita-cita besar sepertinya.
Lulusan program Ijazah Industri Statistik itu amat meminati bidang kecantikan sejak kecil lagi.
Dia yang suka bergaya seringkali menggunakan peralatan solek ibunya secara senyap. Dari sehari ke sehari, keluarganya mula menyedari bakat yang ada dalam dirinya.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, sungguhpun ketika itu masih bergelar mahasiswa, namun dia tetap meneruskan minat dalam bidang kecantikan. Lebih mengujakan apabila minat itu menjana pendapatan.
“Saya menghadiri kelas solekan ketika tidak mempunyai kuliah. Pada mulanya, ibu tidak membenarkan saya menceburi bidang ini kerana katanya, kerjaya dalam bidang kecantikan tidak mempunyai masa depan, selain ibu juga bimbang saya akan hilang fokus terhadap pelajaran.
“Ia sedikit pun tidak mematahkan semangat, malah saya mengganggapnya sebagai satu motivasi untuk membuktikan saya mampu berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya kepada S2.
Mengimbas kembali penglibatan awal dalam dunia kecantikan, katanya, cabaran bukan sahaja diterima daripada ibu tercinta, malah faktor kewangan turut merisaukan. Ini kerana menghadiri kelas solekan memerlukan wang yang agak banyak.
“Ketika itu, saya mula berfikir bahawa saya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada wang saku yang diberikan ibu.
“Jadi, saya kumpul duit untuk menghadiri kelas dan membeli alatan solek. Saya juga dapat duit hasil daripada perniagaan online secara kecil-kecilan,” ujarnya.
Katanya, dia selalu mempraktikkan ilmu solekan kepada keluarga terdekat dan rakan-rakan supaya apa yang dipelajarinya terus segar dalam ingatan. Kini, hampir setiap minggu, Ainaa sibuk memenuhi undangan solekan pengantin.
Apa yang membanggakan, dia membuktikan kepada keluarga terutama ibu bahawa minatnya tidak mengganggu pengajian apabila dia berjaya menerima segulung ijazah dalam majlis konvokesyen UTHM pada Oktober lalu.
“Saya sentiasa belajar menghasilkan solekan yang terkini, memandangkan saingan agak sengit, selain merancang untuk melanjutkan pelajaran,” katanya sambil berpesan kepada semua gadis yang mempunyai cita-cita iaitu tidak hanya menjadikan cita-cita itu impian semata-mata, tetapi berusaha merealisasikannya menjadi kenyataan.










