KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen UMNO disaran turun ke kawasan masing-masing untuk menggesa rakyat bagi menolak Belanjawan 2019 yang sedang dibahas di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha itu adalah sebagai gerak kerja UMNO untuk membawa pandangan parti itu ke luar Parlimen.
“Kita usaha bantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan (dengan Belanjawan 2019). Contohnya bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah boleh pergi ke universiti dan jelaskan kepada mereka.
“Ini bukan menghasut tapi lebih kurang macam itu.
“Soal petani, Ahli Parlimen boleh balik kawasan minggu ini dan buat piket depan Jabatan Pertanian,” katanya pada Wacana U3.0: Bajet Inisiatif Ekonomi Rakyat anjuran Penerangan UMNO Malaysia di Menara Datuk Onn di sini sebentar tadi.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, hasutan itu tidak berniat jahat namun bertujuan ke arah kebaikan selain menjadi strategi perang UMNO yang tidak boleh terhad kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat semata-mata.
Wacana tersebut dihadiri kira-kira 100 orang awam.
Dalam pada itu, Khairy melahirkan kebimbangan beliau mengenai kegusaran orang Melayu dengan perkembangan terkini seperti pemberian tender terbuka dalam penjualan tanah dan aset kerajaan selain tiada usaha untuk memperkasa agenda Bumiputera. – K! ONLINE










