IPOH 25 Nov. – Seorang anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Mutalib membuat keputusan untuk tidak hadir dalam sesi pendengaran awam melibatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir esok.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai sudut antaranya dalam mesyuarat pra majlis PAC pada Jumaat lalu beliau telahpun menyatakan bantahan terhadap langkah mahu memanggil Zambry dan bekas Ketua Eksekutif MB Incorporated (MB Inc.), Datuk Aminudin Hashim untuk memberi penjelasan pada sesi pendengaran awam berkaitan akaun anak syarikat kerajaan negeri, MB Inc.
Menurutnya, beliau masih berpegang kepada keputusan mesyuarat pertama PAC pada 5 Oktober iaitu sebuah firma audit bebas hendaklah dilantik terlebih dahulu untuk membuat audit dalaman terhadap MB Inc. sebelum sebarang langkah lanjut diambil termasuk jika perlu memanggil Zambry dan Aminudin untuk memberikan penjelasan di hadapan Jawatankuasa PAC.
“Keputusan untuk mengadakan sesi pendengaran awam bukanlah dicapai sebulat suara dalam jawatankuasa PAC, malah pandangan sudahpun saya nyatakan bahawa langkah itu boleh memberi kesan negatif terhadap kredibiliti PAC.
“Malahan dua lagi anggota PAC, ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan ADUN Gunong Semanggol, Razman Zakaria juga telah menyatakan bantahan terhadap cadangan mahu mengadakan sessi pendengaran awam atas alasan yang sama,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, sesi pendengaran awam esok jelas tidak diperuntukkan di dalam Tatacara Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan tidak pernah diadakan di mana-mana negeri atau di Parlimen di Malaysia ataupun mana-mana negara Komanwel sebelum ini.
“Saya juga membuat keputusan untuk tidak hadir sesi pendengaran awam itu kerana mahu mengelakkan diri daripada disabitkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekiranya Pengerusi PAC atau mana-mana anggotanya membocorkan sebarang dokumen kerajaan kepada pihak awam semasa sesi tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











