ADUN perlu juga fokus kepada aspek legislatif - Utusan Malaysia

ADUN perlu juga fokus kepada aspek legislatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 19 Nov. – Prestij  Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu melalui peranan anggotanya dalam persidangan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi meletakkan perjalanan sidang pada kedudukan terbaik berbanding negeri lain.

Yang Dipertuanya, Yahaya Ali berkata, selaras dengan itu, bermula sidang DUN 25 November ini termasuk pembentangan Bajet Negeri 2019, semua anggota legislatif  diminta bersedia mengemukakan idea serta penyelesaian isu-isu baharu yang dapat memberi impak jangka panjang.

Beliau memberitahu, sudah tiba masa bagi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu untuk berfikir secara serius berkaitan segala perkara serta bidang legislatif (perundangan) selain tertumpu kepada pembangunan dan kebajikan bagi masa depan negeri dan rakyat.

“Kita mahu angkat prestij sidang DUN Terengganu ke tahap lebih tinggi dan lebih ke depan berbanding persidangan DUN di lain-lain negeri.

“Malah kita nak semua legislatif lebih ke hadapan untuk kita bawa perkara-perkara baharu daripada mulakan isu sehingga ke tahap penggubalan sesuatu enakmen baharu,” katanya ketika berucap dalam majlis Apresiasi Bersama Media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yahaya turut memberi beberapa contoh isu atau idea baharu yang sewajarnya dikemuka untuk dibahaskan dalam persidangan DUN kali ini antaranya isu tanah rezab orang Melayu dan soal kepentingan simpanan dan pegangan tanah milik bangsa agar tidak terjejas.

Menurutnya, isu lain berkaitan tanah juga boleh diperincikan seperti kesediaan kerajaan memberi peluang pemilikan tanah kepada rakyat negeri ini termasuk kalangan pengamal media yang turut berperanan membantu kerajaan.

“Selain itu, sidang DUN ini nanti catat sejarah dengan tempoh sidang yang panjang iaitu selama lima hari untuk memberi kesempatan seluas-luasnya kepada setiap wakil rakyat membahaskannya.

Di samping itu melibatkan usul pelantikan ADUN wanita dalam usaha kerajaan negeri untuk terus mengangkat peranan dan martabat golongan itu,” katanya sambil menyatakan penghargaan kepada pengamal media yang disifatkan sebagai rakan kongsi kepada kerajaan dalam mencorakkan negeri.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN