KUALA LUMPUR 29 Nov. – Persatuan Institut Penyelidikan Hutan Asia Pasifik (APAFRI) sebulat suara bersetuju melantik semula Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutifnya.
Lantikan bagi penggal 2018 sehingga 2021 itu diumumkan APAFRI pada mesyuarat agung kelapan yang telah berlangsung di Putrajaya, hari ini.
FRIM dalam satu kenyataan memberitahu, Abd. Latif pertama kali dilantik sebagai Pengerusi APAFRI dalam mesyuarat agung kelima badan berkenaan di Kuala Lumpur pada tahun 2009 dan sekali lagi di Guangzhou, China (2012).
Katanya, Abd. Latif merupakan orang pertama yang dilantik menggalas jawatan tersebut untuk tiga kali berturut-turut.
Bercakap dalam mesyuarat agung berkenaan, Abd. Latif telah mengesahkan komitmen FRIM untuk terus menjadi tuan rumah kepada sekretariat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Produk Hutan FRIM, Dr. Gan Kee Seng yang telah berkhidmat bersama sekretariat APAFRI sejak tahun 2015 dikekalkan menjadi Setiausaha Eksekutif APAFRI untuk mengawasi operasi sekretariat. – UTUSAN ONLINE










