83 penduduk dari dua kampung di Ijok dipindahkan akibat banjir - Utusan Malaysia

83 penduduk dari dua kampung di Ijok dipindahkan akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Seramai 83 orang daripada 29 buah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan tengah malam tadi selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi kira-kira dua meter. 

Kesemua yang terlibat merupakan penduduk di Kampung Seri Sentosa dan Kampung Seri Aman di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor berkata, banjir yang melanda kedua-dua kampung itu disebabkan limpahan air dari sungai berdekatan berikutan hujan lebat pada lewat petang semalam.

“Ketika ini, seramai 51 penduduk daripada 19 keluarga dari Kampung Seri Sentosa dan 32 penduduk daripada  10 keluarga dari Kampung Seri Aman ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields sejak tengah malam semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Shamsul, statistik mangsa terlibat terdiri daripada 20 orang lelaki dewasa, perempuan dewasa (24), kanak-kanak lelaki (11), kanak-kanak perempuan (5), bayi lelaki (1), bayi perempuan (1), warga emas lelaki (7) dan warga emas perempuan (16).

“Pihak kami akan terus memantau keadaan banjir di kedua-dua kampung terbabit sebelum mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beberapa agensi berkaitan di bawah jawatankuasa itu ditempatkan dipusat pemindahan bagi menguruskan kebajikan mangsa banjir.

Pada 11 Oktober lalu, kejadian sama menyebabkan seramai 25 penduduk Kampung Seri Sentosa, Ijok, melibatkan sembilan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN