64,632 individu diisytihar muflis - Utusan Malaysia

64,632 individu diisytihar muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Seramai 64,632 individu berusia di antara 18 sehingga 44 tahun telah diisytiharkan muflis sejak lima tahun lalu disebabkan tidak berupaya membayar semula pinjaman pembiayaan.

Malah, sehingga bulan September tahun ini sahaja, seramai 13,338 individu telah tergolong sebagai muflis ekoran gagal membayar semula pinjaman kereta, pinjaman peribadi, perumahan dan perniagaan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan celik kewangan merupakan aspek penting dalam institusi kekeluargaan bagi memastikan seseorang itu tidak terbeban dengan masalah kewangan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendidikan kewangan boleh membentuk kestabilan keluarga yang mapan sekali gus menjadikan negara lebih harmoni.

“Saya percaya disiplin pengurusan kewangan bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan penting mengajar anak mereka mengenai pengurusan kewangan.

“Sikap yang baik tidak boleh dibentuk melalui peperiksaan atau memperoleh sijil semata-mata kerana perkara itu perlu dilentur sejak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Simposium Celik Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN