KUALA TERENGGANU 15 Nov. – Seramai 1,523 penghidap diabetes didaftarkan di negeri ini dalam tempoh 10 bulan tahun ini dengan 61.5 peratus daripada mereka merupakan golongan wanita.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, perangkaan terbaharu itu sekali gus menjadikan keseluruhan pesakit diabetes yang didaftarkan di Terengganu sejak 2010 adalah seramai 56,277 orang.
Katanya, jumlah pesakit diabetes yang kronik sehingga terpaksa menjalani amputasi juga terus meningkat saban tahun dengan 88 orang pada 2015, disusuli 226 pada tahun 2016 manakala sehingga September lalu, bilangannya telah mencecah seramai 222 orang.
“Jika pesakit gagal mengawal diabetes akan berlaku komplikasi yang seterusnya boleh menyebabkan penyakit jantung koronari, buah pinggang, kebutaan dan kudis di kaki yang boleh berakhir dengan amputasi atau pemotongan anggota badan.
“Sehubungan itu, selain daripada makan ubat atau menggunakan insulin mengikut nasihat doktor, semua penghidap diabetes perlu mempelajari dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sesuai mengikut tahap penyakit yang dihidapi serta mengamalkan aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Diabetes dan Hari Jantung Sedunia 2018 peringkat negeri Terengganu di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Kasemani Embong.
Sementara itu Mohd. memberitahu, jumlah pesakit jantung yang direkodkan hingga September tahun ini adalah seramai 388 pesakit dengan 65.9 peratus daripadanya merupakan lelaki.
“Majoriti pesakit adalah lelaki berbanding wanita kerana golongan ini merokok di samping gaya hidup tidak aktif.
“Bagi penyakit strok pula seramai 4,715 pesakit dicatatkan sejak 2013 hingga 2017,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd berkata, kerjasama dengan pihak sekolah masih berterusan dalam menjayakan program pemakanan sihat kepada warga institusi itu khususnya pelajar.











