NILAI – Seorang ibu dan empat anak lelakinya berdepan detik cemas apabila rumah teres dua tingkat mereka di Taman Desa Indah di sini terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam tadi.
Mangsa, Norhanizah Ibrahim, 45, melecur lima peratus pada bahagian belakang badan dan muka, manakala dua anaknya masing-masing berusia 19 dan enam tahun mengalami asma dalam kejadian itu.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Jamaludin Latif berkata, kebakaran itu memusnahkan ruang tamu rumah yang menempatkan dua buah sofa, sebuah televisyen dan sebuah meja makan.
“Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan. Suami wanita itu tiada di rumah semasa kejadian.
“Mangsa melecur kerana bertindak nekad meredah ruang tamu yang terbakar. Empat anaknya turun dari tingkap bilik atas menggunakan tangga disediakan jiran mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Jamaludin berkata, wanita itu memaklumkan dia menyedari kebakaran tersebut apabila terjaga daripada tidur selepas mendengar salakan anjing dan menghidu bau asap.
Kata beliau, api bagaimanapun terlebih dahulu berjaya dikawal daripada merebak oleh jiran-jiran mangsa menggunakan air paip dari rumah masing-masing.
“Api telah dikawal apabila pasukan bomba tiba dan kami mengambil masa selama beberapa minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.23 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.
Tambah beliau, seramai 15 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai serta Mantin dikerahkan memberi bantuan. – K! ONLINE










