42 individu ditahan berkaitan isu Kuil Sri Maha Mariamman - Utusan Malaysia

42 individu ditahan berkaitan isu Kuil Sri Maha Mariamman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kira-kira 42 individu telah ditahan polis berhubung insiden kekacauan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor Isnin lalu.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 12 orang berbanding 30 orang seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya masih memburu mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut dan polis kini sedang berusaha sedaya upaya memulihkan kembali keadaan aman dan tenteram selepas kekacauan berlaku di kawasan tersebut.

“Saya nak maklumkan bahawa keadaan di sekitar kuil tersebut kini hampir pulih sepenuhnya.

“Walaupun masih terdapat kira-kira 25 hingga 30 individu berkumpul pada tengah hari semalam, namun tiada kejadian tiada apa-apa berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd. Rasid akan memangku tugas Ketua Polis Perak berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya berharap semua pihak dapat mengawal emosi dan sentiment masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menegangkan ketenteraman awam.

Sementara itu, beliau juga mengesahkan polis menahan pengendali blog Papa Gomo berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.

“Penahan dia dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video dikeluarkan suspek yang cuba menaikkan sentiment orang ramai berkaitan isu perkauman.

“Kita tidak mahu perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan secara luar biasa dan jika keadaan ini dibiarkan, ia akan menyebabkan masalah lain berkaitan isu keselamatan,” jelasnya.

Difahamkan, suspek yang menggunakan akaun media sosial Facebook Sir Azri telah memuat naik satu video bertajuk ‘Ini Tanah Melayu’ kelmarin telah ditonton lebih 300,000 dan dikongsi hampir 10,000 pengguna.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya juga akan mengambil tindakan sama kepada semua pihak yang cuba menggunakan media sosial untuk menaikkan sentimen perkauman yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN