40 murid di Kemaman terima bantuan EPIC - Utusan Malaysia

40 murid di Kemaman terima bantuan EPIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 19 Nov. – Semuanya baharu bagi seramai 40 murid dari keluarga kurang berkemampuan di sini semalam apabila memiliki kelengkapan persekolahan bernilai RM500 setiap seorang sebelum mereka melangkah ke sesi persekolahan 2019.

Mereka yang merupakan kalangan murid terpilih dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jaya dan SK Meraga Beris diraikan dalam program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2019 Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad di bawah siri tanggungjawab sosial korporatnya.

Penyerahan bantuan yang meringankan bebanan kalangan ibu bapa kurang berkemampuan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di Pusat Beli Belah Mesra Mall, Kemasik, petang semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perancangan Korporat, Pembangunan Komunikasi dan Projek Khas EPIC, Abdul Adzim Abd. Hamid dan Pengurus Kanan Pengkalan Bekalan Kemaman Supplies & Services (PBKSS) Hishamuddin Ramli.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, Hanafiah berharap anak syarikat kerajaan negeri itu menambah peruntukan bagi tujuan yang sama pada masa depan, agar meliputi lebih ramai murid di kesemua empat kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Hari ini hanya melibatkan sumbangan kepada murid dalam kawasan DUN

Air Putih dan Kijal. Jadi saya berharap dapat diperluaskan kepada kawasan DUN Cukai dan Kemasik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN