IPOH 16 Nov. – Empat individu termasuk dua wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di ladang kelapa sawit, Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, keempat-empat suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di daerah Hilir Perak dalam satu operasi yang dijalankan semalam.
“Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Perak serta dibantu sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 2 petang hingga 8 malam semalam.
“Polis percaya dengan penahanan empat suspek tersebut, kita berjaya menyelesaikan kes berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak di ibu pejabat kontinjen negeri di sini hari ini.
Dalam majlis itu, bekas Ketua Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham, 59, dilantik menjadi Ketua JPJKK negeri berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk T. Selvan, 57, yang ditugaskan sebagai Ketua Penolong Pengarah Penataan dan Analisa JPJKK Bukit Aman, bermula Isnin ini.
Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, keempat-empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, siasatan awal polis mendapati kes berkenaan dipercayai berkaitan dengan masalah peribadi membabitkan teman wanita.
Media semalam melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan rentung di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kereta yang dipercayai dibakar di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Banjar dekat Teluk Intan.
Mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibawa ke kawasan tersebut untuk dibakar bagi menghapuskan bukti.










