3R: Malaysia terkebelakang - Utusan Malaysia

3R: Malaysia terkebelakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KE mana sahaja pergi, pastinya mata tidak lekang daripada melihat sampah yang bertaburan di jalan raya, longkang, tandas awam atau kawasan parkir kenderaan.

Walaupun pihak berkuasa meletakkan tong sampah di pusat beli belah atau tempat awam seperti taman reaksi bagi membolehkan orang ramai membuang sampah mengikut jenis sampah, namun rakyat Malaysia tidak mengendahkannya.

Tidak berhenti di situ, isi rumah juga dilihat gagal mengasingkan sisa pepejal seperti yang termaktub dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran turut menyumbang kepada kepadatan sampah di tempat pengumpulan sampah.

Bagaimana Malaysia ingin dipandang sebagai sebuah negara maju sedangkan hal remeh seperti menjaga kebersihan dan sampah pun masih pada tahap rendah?

Sebilangan besar rakyat Malaysia masih menjadikan alasan mengasingkan sisa pepejal sebagai membebankan sedangkan jika diamati, budaya itu sekiranya tidak diubah, dikhuatiri akan menjejaskan imej negara.

Keadaan itu sekali gus tanpa disedari menjadi punca lebihan sampah di tempat pelupusan sampah sehingga menyebabkan tanah yang diperuntuk oleh kerajaan untuk pelupusan sampah tidak mencukupi.

Sedangkan sejak 1 September 2015 kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat-peringkat, namun selepas tiga tahun akta itu diwujudkan masih lagi dilihat sisa pepejal dicampurkan dalam satu bekas plastik tanpa mengasingkan sampah kepada sampah domestik, sampah kitar semula dan kebun.

Cara terbaik untuk mengendalikan sampah adalah melalui konsep 3R iaitu reduce (kurang), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula).

Rata-rata rakyat Malaysia memahami tentang konsep 3R, namun hanya sebilangan kecil sahaja mengamalkannya.

Bagi pensyarah, Mohd. Hilmi Bakar, 38, kesedaran orang ramai terhadap amalan 3R masih sangat rendah ekoran penguatkuasaan yang lemah.

“Apabila tiada tindakan yang dikenakan, maka orang ramai masih beranggapan tiada kepentingan untuk mengamalkannya. Mereka beranggapan tidak perlu bersusah payah untuk mengasingkan sisa, sebaliknya membakar sampah tersebut tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar.

“Walaupun tong sampah disediakan, namun rakyat masih lagi membuang sampah merata-rata serta gagal mengasingkan sampah mengikut warna tong.

“Mentaliti orang Malaysia mahukan perkara mudah tanpa mempedulikan tujuan utama kerajaan menggalakkan 3R. Mereka terasa terbeban untuk membawa bekas makanan sendiri, sebaliknya lebih memilih untuk menggunakan plastik,” jelasnya.

Katanya lagi, perkara tersebut bukanlah permasalahan baharu kepada negara dunia kedua seperti Malaysia apabila tiada kekangan dari segi kewangan yang membolehkan usaha ke arah negara bersih dan hijau dilaksanakan, sebaliknya kesedaran dalam kalangan rakyat amat kurang menyebabkan langkah ke arah itu terbantut.

“Seperti sekarang, setiap plastik dikenakan bayaran 20 sen, namun bagi rakyat di negara ini, jumlah tersebut amat sedikit dan tidak membebankan berbanding membawa beg sendiri ke pasar raya.

“Jika mahu menjual barangan yang boleh dikitar semula tidak mendapat untung yang besar. Daripada jual, baik buang sahaja,” katanya.

Justeru itu, Mohd. Hilmi berharap kerajaan atau pihak bertanggungjawab mewajibkan pendidikan dan pendedahan tentang kebaikan amalan 3R sejak pada peringkat prasekolah dalam membentuk nilai moral dan pemikiran mengenai kepentingan amalan tersebut.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab bukan sahaja sekadar memberi pendidikan atau kempen sebaliknya menjadikannya sebagai amalan dan cara hidup.

“Tidak semua ibu bapa mengetahui tentang 3R. Apabila anak-anak belajar dan amalkan di sekolah, mereka secara tidak langsung boleh berkongsi amalan itu di rumah,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan penguatkuasaan yang kurang turut mendorong kepada amalan 3R tidak dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia.

“Tidak salah jika Malaysia mencontohi Taiwan yang memberi ganjaran kepada orang ramai yang membuat laporan jika ada dalam kalangan rakyat yang masih enggan mematuhi amalan 3R.

“Mereka boleh menghantar bukti dalam bentuk gambar dan pihak penguat kuasa perlu menyaman mereka yang bersalah. Kita ubah mentaliti kepada rakyat juga adalah pihak penguat kuasa,” tegasnya.

Sharifah Faridah Syed Ali, 35, merupakan seorang pelajar program doktor falsafah (Phd) di sebuah institusi penggajian tinggi awam berkongsi bahawa kelebihan mengamalkan 3R mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar, selain ada antara bahan yang boleh digunakan semula seperti bekas air yang boleh dijadikan bekas alat tulis.

“Saya beranggapan amalan 3R di Malaysia masih pada peringkat sederhana apabila masih ada dalam kalangan kita yang tidak menggunakan semula barangan kitar semula.

“Hal ini mungkin berlaku kerana kurangnya fahaman dan pendedahan berkaitan amalan ini,” jelasnya.

Tambahnya, penyediaan tong sampah kitar semula juga ini tidak diletakkan secara menyeluruh menjadi salah satu punca rakyat tidak memandang serius mengenai perkara tersebut.

Malah katanya, mendidik pada peringkat sekolah masih tidak mencukupi sebaliknya perlu memperluas lagi pada peringkat tertinggi.

“Saya menganggap usaha kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan penggunaan beg plastik pada hari Sabtu dan kini diperluas sebagai langkah bijak dalam usaha menggalakkan rakyat mengamalkan 3R,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pelajar, Nurafiq Inani Man, 33 berkata, kelebihan 3R adalah ia boleh mengelakkan kepadatan jumlah sampah di tempat pelupusan sampah, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan juga dapat mengelakkan daripada kecederaan haiwan liar yang terdedah dengan persekitaran sampah.

“Bukan itu sahaja, kurangnya pengajaran daripada pihak atau badan tertentu mengenai amalan ini menyebabkan amalan 3R dilaksanakan separuh jalan sahaja.

“Saya cadangkan agak pihak bertanggungjawab melakukan kempen dan mendidik penduduk terlebih dahulu secara berterusan.

“Selain itu, ganjaran juga penting untuk motivasi berterusan untuk menjayakan amalan ini,” ujarnya lagi.

Bagi pekerja swasta, Ivy Mitchel Menjis, 30, dia beranggapan pihak penguatkuasaan perlu memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas yang baik dalam proses amalan 3R dan harus mendapat sokongan untuk terus melaksanakan amalan itu bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar yang semakin teruk.

“Kementerian bukan sahaja perlu memberi pendedahan pada peringkat sekolah, malah perlu memberi lebih pendedahan kepada masyarakat tempatan.

“Kerajaan juga perlu memperbanyak kempen kesedaran pada peringkat usia muda, selain menjalin kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke arah melaksanakan 3R secara menyeluruh,” katanya.

INFO PROGRAM 3R

  • Program kitar semula dilancarkan secara rasmi pada 2000 dengan pewartaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672)
  • Dianggarkan sebanyak 2.3 juta tan bahan kitar semula dengan nilai mencecah RM900 juta dibuang ke tapak pelupusan sampah.
  • Pelaksanaan pengasingan sisa di punca berkuat kuasa 1 September 2015 bermula di negeri-negeri yang menerima Akta 672 dan dijalankan secara berperingkat-peringkat melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Perlis.
  • Berdasarkan statistik sehingga bulan Mei 2016, sebanyak 1,189 tan jumlah sisa kitar semula telah berjaya dikutip dan dapat dielakkan daripada terbazir ke pusat pelupusan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 35.8 peratus sisa adalah plastik, 35.5 peratus adalah kertas, 28.7 peratus adalah jenis lain-lain seperti besi, aluminium, kaca, dan e-waste.
  • Kerajaan menetapkan dasar bagi mengurangkan sebanyak 40 peratus jumlah sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan menjelang tahun 2020.
  • Bagi mencapai sasaran tersebut, kadar kitar semula perlu ditingkatkan, kepada sasaran 22 peratus kadar kitar semula.
  • Untuk itu, amalan 3R perlu diperhebatkan menerusi pengasingan sisa pepejal di peringkat punca.
  • Ada peningkatan kesedaran masyarakat akan kepentingan dan tanggungjawab berkaitan program 3R iaitu pengurangan, guna semula dan kitar semula tetapi masih belum mencukupi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN