ALOR SETAR – Tindakan seramai 38 lelaki masuk ke kawasan kebun getah di Kampung Binjal, Jitra dekat sini disyaki untuk melepaskan ketagihan dadah menjerat diri apabila mereka dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang melakukan serbuan di sarang penagihan dadah tersebut hari ini.
Ketua AADK Daerah Kubang Pasu, Mohd. Zaki Ablah berkata, operasi yang bermula pada pukul 6 pagi hingga 1 petang tadi itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan sejak seminggu lalu.
“Kita bertindak menahan semua individu yang dikesan memasuki sarang penagihan dadah tersebut dan seramai 38 lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil ujian saringaan air kencing mendapati seramai 37 lelaki didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine sementara seorang lagi negatif dadah.
“Suspek yang positif dadah disiasat mengikut 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” ujarnya. – K! ONLINE










