TEMERLOH 15 Nov. – Seramai 314 murid daripada golongan asnaf menerima sumbangan zakat berupa kelengkapan sekolah dan wang tunai keseluruhan bernilai RM157,000 pada Program Iqra Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) 2018 peringkat negeri, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Khee Chee di sini hari ini.
Pengarah Tabung Haji negeri, Musalimah Mustaffa berkata, dalam program itu, murid-murid dari 26 buah sekolah di daerah ini dan Jerantut menerima sumbangan berjumlah RM500 seorang berupa kelengkapan sekolah dan juga wang tunai sebanyak RM300.
“Pengagihan sumbangan zakat di bawah program Iqra ini bertujuan membolehkan pelajar asnaf dan kurang berkemampuan membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2019.
“Sumbangan ini juga sebagai suntikan semangat dan pendorong kepada para pelajar agar lebih berdaya maju dan cemerlang dalam pelajaran seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar pada program berkenaan.
Menurut Musalimah, program Iqrar mula yang dilaksanakan oleh Yayasan Tabung Haji sejak 2015 bertujuan membantu persekolahan khususnya golongan asnaf.
Katanya, pada tahun ini sahaja, Tabung Haji memperuntukkan sebanyak RM3.64 juta dalam program itu yang melibatkan 7,280 murid asnaf di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE










