PARIS 18 Nov. – Hampir 300,000 penunjuk perasaan membantah kenaikan harga minyak dan dasar ekonomi diperkenalkan Presiden Emmanuel Macron dalam bantahan besar-besaran yang diadakan di jalan raya di seluruh negara ini, semalam.
Bantahan tersebut mengakibatkan kesesakan teruk dan beberapa kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang penunjuk perasaan.
Sekurang-kurangnya 227 penunjuk perasaan turut cedera ketika pemandu terperangkap dalam kesesakan cuba mengelak sekatan jalan berikutan tunjuk perasaan yang digelar ves kuning, memenuhi jalan raya, pintu masuk terowong dan akses ke lapangan terbang.
Demonstrasi yang digerakkan menerusi media sosial itu ekoran kenaikan harga minyak dan menggambarkan aduan tentang kemerosotan kuasa berbelanja dan ketidakpuasan hati terhadap Presiden yang didakwa mengabaikan rakyat bawahan.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Christophe Castaner berkata, pada satu sekatan di tenggara Savoie, seorang pemandu wanita yang panik selepas penunjuk perasaan mengelilingi keretanya bertindak merempuh kumpulan itu, mengakibatkan seorang wanita maut.
Katanya, sekurang-kurangnya 227 orang cedera di seluruh Perancis termasuk enam daripadanya parah dalam demonstrasi yang disertai hampir 283,000 peserta.
Tambahnya, seorang anggota polis turut cedera parah akibat rempuhan itu.
Sebanyak 73 penunjuk perasaan ditahan pada waktu petang dan beberapa peserta masih ditahan selepas waktu malam.
Polis pada masa sama turut menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan berdekatan terowong bawah tanah Mont-Blanc di Banjaran Alps selain mengusir penunjuk perasaan di Elysee Palace di Paris dan pusat bandar Lyon.
Penunjuk perasaan melaung-laungkan slogan ‘Macron, letak jawatan’ dan beberapa lagi melaungkan slogan ‘kembalikan kuasa membeli kami’ pada ves yang dipakai mereka.
“Terlalu banyak cukai dilaksanakan di Perancis,” kata seorang penunjuk perasaan, Veronique Lestrade.
Dalam tempoh 18 bulan berkuasa, Macron berdepan demonstrasi jalanan ketika beliau melonggarkan peraturan buruh dan memulihkan penyelenggara kereta api SNCF dalam usaha meningkatkan semula ekonomi.
Macron turut dipersenda ahli politik pembangkang sebagai ‘Presiden orang kaya’ ekoran langkah seperti penghapusan cukai kekayaan mengakibatkan populariti beliau merosot 21 peratus.
Peningkatan cukai ke atas minyak, tembakau serta kenaikan levi kebajikan sosial sebelum potongan cukai lain dikuatkuasakan membuatkan beberapa pengundi merasakan mereka tersepit.
Kenaikan cukai diesel yang diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam sekitar amat dirasakan rakyat selepas harga minyak meningkat bulan ini mengakibatkan penduduk di beberapa wilayah berang.
Kabinet Perancis selain itu mengumumkan peruntukan Rabu lalu bagi membantu pengguna kenderaan berpendapatan rendah walaupun Macron masih mengekalkan dasar minyak beliau.
Walaupun harga minyak turun bulan ini, penunjuk perasaan turut mempunyai aduan lain seperti mana ditunjukkan dalam demonstrasi semalam.
“Saya dengan senang hati mengundi Macron pada tahun 2017, tetapi beliau benar-benar mempermainkan kami.
“Tidak ada perbincangan dengannya, tidak ada dialog, beliau sombong,” kata Dominique Jouvert, 63, seorang pesara kakitangan awam di Lyon. – REUTERS










