2,000 orang berhimpun, berarak bantah ICERD - Utusan Malaysia

2,000 orang berhimpun, berarak bantah ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kira-kira hampir 2,000 orang menyertai himpunan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di pekarangan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) selepas solat Jumaat sebentar tadi.

Himpunan yang digerakkan oleh Dewan Pemuda Pas Perak itu turut dianjurkan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik seperti UMNO dan Berjasa.

Himpunan yang diketuai oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad kemudian berarak sejauh kira-kira 100 meter bagi menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat Majlis Peguam Perak.

Memorandum itu diserahkan Ketua Pemuda Pas Perak, Akmal Kamaruddin dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Idris ketika ditemui berkata, himpunan terbesar di Masjid Negeri pada kali ini merupakan signal awal terhadap mereka yang bersekongkol untuk mengiktiraf ICERD.

“Saya hendak ingatkan bahawa ini Malaysia dengan majoriti 63 peratus terdiri daripada orang Melayu Islam dan kita tidak pernah melakukan penindasan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu.

“Kita tiada masalah kaum Cina menguasai ekonomi, sekolah persendirian dan universiti namun kita harap jangan ada unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya porak-poranda selepas 61 tahun Malaysia berada dalam keadaan harmoni,” katanya.

Menurut Idris, usaha meratifikasi ICERD dilihat sebagai cubaan test market apabila pihak terbabit memiliki kuasa tatkala orang Melayu berpecah tiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun katanya, beliau yakin, wujud penyesalan dalam kalangan rakyat yang dahulunya menyokong pihak berkenaan termasuk di kedai-kedai kopi dan sekolah.

“Dalam sejarah, komunis tidak boleh memerintah lama iaitu 12 hari dan Jepun pula tiga tahun tetapi orang Inggeris boleh bertahan lama kerana mereka memahami psikologi orang Melayu.

“Mereka faham jiwa orang Melayu. Jiwa yang tidak boleh disentuh, salah satunya ialah jiwa agamanya,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN