2,000 bantah ICERD di Ipoh - Utusan Malaysia

2,000 bantah ICERD di Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 16 Nov. – Hampir 2,000 orang menyertai himpunan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) hari ini selepas solat Jumaat.

Himpunan yang digerakkan oleh Dewan Pemuda Pas Perak itu turut dianjurkan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik seperti UMNO dan Berjasa.

Himpunan yang diketuai oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad kemudian berarak sejauh kira-kira 100 meter bagi menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat Majlis Peguam Perak.

Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Pemuda Pas Perak, Akmal Kamaruddin dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Idris ketika ditemui berkata, himpunan terbesar di Masjid Negeri pada kali ini merupakan signal awal terhadap mereka yang bersekongkol untuk mengiktiraf ICERD.

ORANG ramai yang berkumpul membantah perlaksanaan ICERD di Ipoh hari ini. - GAMBAR/ ZULKARNAIN SAID
ORANG ramai yang berkumpul membantah perlaksanaan ICERD di Ipoh hari ini.  – GAMBAR/ ZULKARNAIN SAIDIN

“Saya hendak ingatkan ini Malaysia, majoriti 63 peratus terdiri daripada orang Melayu Islam dan kita tidak pernah melakukan penindasan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu.

“Orang Cina menguasai ekonomi, kita tidak ada masalah. Mereka menubuhkan sekolah persendirian, sekolah Tamil, malah mereka ada universiti, kita tidak ada masalah tetapi kita harap jangan ada unsur-unsur berlakunya porak-peranda setelah Malaysia harmoni selama 61 tahun,” katanya.

Menurut Idris, usaha meratifikasi ICERD dilihat sebagai cubaan ‘test market’ apabila pihak terbabit memiliki kuasa tatkala orang Melayu berpecah tiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun katanya, beliau yakin, sudah wujud penyesalan dalam kalangan rakyat yang dahulunya menyokong pihak berkenaan termasuk di kedai-kedai kopi dan sekolah.

“Dalam sejarah, komunis tidak boleh memerintah lama iaitu 12 hari dan Jepun pula tiga tahun tetapi orang Inggeris boleh bertahan lama kerana mereka memahami psikologi orang Melayu.

“Mereka faham jiwa orang Melayu. Jiwa yang tidak boleh disentuh, salah satunya ialah jiwa agamanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN