20 manifesto Pas ditunai dalam tempoh dua tahun lagi - Utusan Malaysia

20 manifesto Pas ditunai dalam tempoh dua tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 18 Nov. – Walaupun tidak terikat dengan janji sasaran masa, kerajaan Pas menjangkakan ia dapat menunaikan kesemua 20 kandungan manifesto parti dalam Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi negeri ini menjelang 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri , Tengku Hassan Tengku Omar mengesahkan, sejak Pas mengambil alih pemerintahan, hanya empat telah dilaksanakan setakat ini.

Menurut beliau, antara yang telah dilaksanakan ialah mengembalikan semula tanah yang dinafikan hak pada tahun 2004 dan membuka permohonan baharu dengan diberi geran kekal di samping bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan miskin.

“Begitu juga karnival perkahwinan kali pertama yang telah dan dijangka akan diadakan sekali lagi pada akhir November ini yang melibatkan pasangan di seluruh negeri,’’ katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan 20 Manifesto bersama dengan Setiausaha Kerajaan, Datuk A. Rahman Yahya di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada jabatan dan agensi yang memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan manifesto yang telah mula dinikmati oleh rakyat.

Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan mengambil pendirian melaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan di samping mengambil kira pelbagai prosedur, urusan penyelarasan dan pendekatan selain sumber kewangan.

Beliau menarik perhatian, langkah untuk menghapuskan tunggakan cukai pintu rumah kediaman dan pengeculian cukai pintu akan diuruskan mulai 1 Januari 2019 selain membuka peluang rakyat yang berumur 21 tahun ke atas layak untuk mendapatkan lot tapak rumah atau satu unit rumah kediaman.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri akan membina sebanyak 410 unit rumah mampu milik di dua kawasan mulai tahun depan.

Mengenai pekerjaan, beliau berkata, sejak Januari hingga kini sebanyak 4,000 peluang telah diwujudkan yang melibatkan pelbagai sektor daripada 20,00 yang dijanjikan dalam tempoh empat tahun.

Pas juga antara lain menjanjikan pembukaan pusat asuhan kanak-kanak di setiap jabatan kerajaan negeri; cuti bergaji 30 hari kepada kakitangan kerajaan yang kematian suami; bantuan RM300 untuk golongan muda memiliki lesen motosikal di samping pengeluaran Kad Sejahtera RM500 setahun untuk golongan berpendapatan rendah berbelanja.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN