2 pegawai imigresen dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

2 pegawai imigresen dipenjara dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 29 Nov. – Dua pegawai Jabatan Imigresen Selangor masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM1,400 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan mela­kukan pecah amanah wang berjumlah RM1,400 dua tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menja­tuhkan hukuman itu terhadap Suhana Samad, 36, dan Zalita Haron, 40, daripada Bahagian Pasport jabatan berkenaan setelah mendapati pihak pem­belaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM200 bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak dan tempoh mereka dipenjarakan boleh ditambah lagi enam bulan sekiranya gagal dibayar.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh dengan syarat mereka perlu memfailkan rayuan hari ini selewat-lewatnya pukul 3 petang ini.

Rozilah dalam keputusannya berkata, keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata dengan cuba menuding jari kepada orang lain.

“Alasan orang lain menggunakan cap nama juga adalah tidak munasabah. Selain itu, wang berjumlah RM200 adalah hasil kerajaan dan sebagai pegawai imigresen, mereka tidak sepatutnya memanipulasi sistem (permohonan pasport) bagi mendapatkan keuntungan.

“Sepatutnya sebagai pegawai tertinggi (mereka) harus menegur perbuatan ini dan perbaiki keadaan bukannya turut serta sekali. Apabila te­lah membuat salah kena muhasabah diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa melakukan pecah amanah wang pembayaran permohonan pasport antarabangsa berjumlah RM200 setiap seorang bagi tujuh individu di Bahagian Pasport Jabatan Imigresen Selangor, Tingkat 2, Kompleks PKNS di sini antara 28 Jun sehingga 1 Julai 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam C.R. Selva dan Jesvinder Singh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×